Tidak Setuah Elyana, Kanser Jadi Bahan Suami Buat Duit

Nanah itu mengalir lagi. Baju yang disingkap ke paras dada itu memperlihatkan segala-galanya yang ditanggungnya ketika itu.

“Rasa macam batu,” katanya, sambil tangan mencapai kotak tisu. “Berat.”

Tidak deras, namun tidak juga berhenti mengalirnya. Dia mengelap perlahan, jelas tampak cairan kekuningan yang meresapi kertas tisu. Payu dara kirinya yang membengkak, tiga kali ganda berbanding di sebelah, terlalu ketara untuk tidak diperhatikan.

Cuba untuk tidak nampak biadap, saya mengalih pandangan. Saya cuba buat tidak tahu namun tidak mampu untuk tidak mencongak hari yang masih berbaki untuk teman itu yang terlantar di hospital. Benar, ajal dan maut di tangan Tuhan namun melihatkan kondisinya bagaimana mungkin untuk dia terus bertahan.

Itu pertemuan pertama kami selepas berbelas tahun tidak bersua muka. Saya hanya mampu merenungnya yang terbaring di katil di wad kelas tiga itu, lebih mengerekot sebenarnya, barangkali menanggung kesakitan.

Akar rambut yang memutih kelihatan di balik tudung yang tidak kemas, menambah kesedihan di wajahnya. Dia sendirian tanpa kelibat suami mahu pun anak-anak. Saat yang janggal kerana saya menjangkakan suaminya sentiasa bersamanya, apatah lagi kerana ia waktu lawatan. Lagi aneh apabila memikirkan suaminya yang sentiasa mengemaskini cerita cinta yang makin mekar di sebalik kondisi isterinya itu di media sosial.

kanser

Suami mithali, begitu sahabat maya mengulas pengorbanan lelaki sepertinya kerana menjaga isteri yang menghidap kanser payu dara tahap empat. Kain bertompok darah bercampur nanah, antara imej yang dilayangkan sebelum dihebahkan berita isteri ditahan di wad dan setiap hari, dia menyemadikan pelbagai wajah keluarga, sanak saudara dan teman yang melawat di wall.

“Suri hati yang aku sayangi sampai ke jannah.” Itu, antara bait nukilan suami yang nyata membekas di hati pelayar, mendorong rayuan kewangan bagi membantu meringankan beban. Kata sebahagian pelayar wanita, teman saya bertuah punya suami sebegitu.

“Kakak,” perlahan, sahabat yang menemani saya memanggilnya beberapa kali selepas lama kami berdiri, berbincang wajarkah mengejutkannya. Dia cuba mempamer keceriaan dan duduk dengan payah, melunjurkan kaki. Serentak, kain lampin dengan tompokan kuning melorot dari dalam bajunya.

Ditanya mengenai keberadaan suami mithalinya, dia berubah suram, menjawab: “Dia mana nak datang. Kalau datang pun, petang. Itu pun sekejap saja. Datang setakat tunjuk muka, selepas itu cepat-cepat nak balik.”

Begitu beratkah penderitaan ditanggung sehingga teman yang perahsia ini membuka kisah hidupnya? Saya cuba mematikan prasangka, mengira dia cuma emosi dan berusaha menenangkannya, mungkin suaminya dihambat kesibukan bekerja selain harus menjaga anak pada masa sama.

Barangkali antara marah dan kecewa, dia sebak menempelak: “Kerja apa? Dia bukan kerja pun, selama ini bini yang menanggung. Pernah, masuk tandas tersangkut dekat sejam. Nasib ada misi (juruawat) perasan sebab tak larat nak bangun. Berat sangat dada ni, sebelah tangan bengkak tak boleh diangkat.

“Jadi kalau terasa nak ke tandas, terpaksalah tunggu suami atau anak-anak datang papah. Selalu, petang baru dia orang datang. Kalau lambat, kadang naik keras perut, terketar-ketar kita ni menunggu. Sudah nasib kita agaknya.”

Jadi jengkel memikirkan kepura-puraan suaminya, juga pada ketidakprihatinan anak-anaknya dalam lingkungan usia belasan tahun itu. Tidak tega juga untuk bertanya apakah dia menyedari penderitaannya dijadikan bahan suami menagih simpati dan buat duit.

“Pakcik itu dah dua bulan menemankan isterinya, hari-hari tidur di hospital,” katanya, sayu memerhati seorang lelaki tua yang sedang merehatkan kepala berdekatan kaki isterinya yang sedang tidur, selang dua katil daripadanya. “Kalau suami kita macam tu, mesti kita pun bersemangatlah juga kan. Ini tidak, minta hantar buat pemeriksaan di hospital pun susah.”

Sambil mengelap air nanah yang mengalir dari payu daranya itu, dia seolah hanyut dalam pemikirannya sendiri. “Dia bawa motor, cakap susah nak bawa ke hospital,” katanya apabila ditanya mengapa dia lambat mendapatkan rawatan. “Naik motor terhenjut-henjut, sakit. Sepatutnya dah lama kena pergi hospital tapi dia cakap kita tiada kereta. Sakit-sakit pun, dia lagi sibuk dengan Facebook, Whatsapp… entah dengan siapa. Bosan banyak alasan, kita terpaksa bertahan. Sekarang nak buat rawatan dah susah, doktor cakap sel makin ganas.”

Pengumuman Elyana mengenai kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak lima tahun lalu, selepas penyingkirannya di minggu kelima program realiti Gegar Vaganza 4, baru ini mengimbau pertemuan saya dengan teman tadi. Saya membaca kesedihan yang dikongsi teman wartawan, juga banyaknya kata-kata semangat dan kekaguman terhadap ketabahan penyanyi berusia 30 tahun ini yang juga ibu kepada seorang anak kecil, Cinta Sumaiyah yang kini berusia enam tahun.

Lama tidak ketemu, saya tertanya apakah Elyana masih gadis ceria dan menyenangkan yang saya kenali dulu. Saya membaca kenyataan suaminya, Khairul Anuar Husin yang menyanjungi Elyana yang “memberi harta yang sangat berharga di dalam keluarga iaitu anak kami, Cinta Sumaiyah.” Dan saya juga mendengar bagaimana Cinta sentiasa mahu memeluk, “berdoa dan menghadiahi Al-Fatihah buat bondanya.” Di sebalik ujiannya, Tuhan mengurniakannya dengan suami dan anak sebagai kekuatan.

Dan saya mencemburui Elyana atas perhatian, pengorbanan dan kasih yang teman saya tidak punya.

kanser

Jadi, apa pengkisahan selanjutnya teman itu? Saya tidak silap kala menduga pertemuan di hospital itu adalah yang terakhir buat kami apabila dia meninggal dunia, sehari sebelum saya berjanji untuk menziarahinya lagi.

Disua berita terbaru suaminya yang meraih cinta baru, kematian mungkin yang terbaik untuk hidupnya. Al-Fatihah.

 

Foto: INGimage

, , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter