Fenomena Baby Shark Doo Doo ke Lagu Viral Andi Bernadee Dengan Tak Tun Tuang

Apa yang bermula sebagai cuma “benda seronok” untuk diri, tanpa diduga mencetuskan kegilaan pada Andi Bernadee.

Setidak-tidaknya, sekarang ini.

“Saya sendiri terkejut,” katanya ketika dihubungi, merujuk tularnya video beliau yang dirakam dengan tuala disangkut di bahu, menyanyikan Tak Tun Tuang, sebuah lagu Minang dendangan asal Upiak Isil dari Indonesia yang dimuat naik di Instagram sebelum dikongsi di Facebooknya. “Dan saya berfikir, ‘Oh! Macam ini rupanya apabila seorang itu jadi popular.”

Parodi Andi itu hampir meraih 1 juta tontonan dalam tempoh seminggu sejak ia dimuat naik.

Ini diikuti beberapa video, antaranya oleh pelawak Jihan Muse dan Bell Ngasri, juga penyanyi senior seperti Siti Nordiana selain pendatang baru Wany Hasrita, sekaligus menjadikan Tak Tun Tuang satu fenomena.

Soalnya, mengapa?

Dilahirkan di Smule, Andi mencipta fan base dengan lagu Aku Bukan Bang Toyib hampir dua tahun lalu sebelum akhirnya muncul dengan single Tiada Lagi Maaf, di mana video rasmi yang dimuat naik Julai lalu mencatat 60,000 klik.

Tak Tun Tuang barangkali, apa yang dinantikan penyanyi seperti Andi yang menyifatkan dirinya “bermula dari bawah, orang tidak kenal pun.” Pendedahan itu, menurutnya dilihat memberi impak positif, menjadi platform bagi melonjakkan karier seninya.

Ibarat tuah datang bergolek, dia bagaimanapun mengakui tidak menjangkakan apa-apa kala memuat naik video itu yang “dirakam secara spontan” apabila keadaan dirinya ketika itu yang “baru bangun tidur dan belum mandi” mengingatkannya pada persamaan dengan lirik lagu berkenaan.

Sebagaimana video usahawan kosmetik, Dato Alif Syukri dan Nur Sajat, bersama ikon fesyen Wak Doyok lewat Baby Shark Dance, sama ada anda terhibur atau meluat menyaksikannya, parodi barangkali eskapisme yang sangat diperlukan sebahagian orang walaupun realitinya ketenangan itu diraih hanya sesaat. Baby Shark Dance yang merupakan sebuah lagu kanak-kanak dengan rutin tarian yang trending bersama bait “baby shark doo doo” sehingga kini sudah mencatat 540 juta tontonan!

baby shark

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisi eskapisme sebagai tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain (biasanya yang kurang baik) daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan.

“Lagu itu ada hook,” kata Andi, mengenai alasan lain yang mendorongnya merakam Tak Tun Tuang yang didukung irama catchy dan lirik lucu. “Apatah lagi dengan trend lagu leleh di radio, mungkin penyebab lagu ini jadi tular. Orang Malaysia ni suka menyakat dan lagu dengan lirik sebegini menjadi usikan yang menghiburkan.”

Di sebalik gaya bersahaja dengan pandangan nakalnya yang meraih perhatian kala merakam video itu, ia dilihat berubah menjadi strategi baginya membina nama secara serius – sebagai penyanyi dan pencipta lagu. Bukan penyanyi terbaik sebetulnya, namun jejaka kelahiran Sabah ini nyata punya personaliti. Juga dengan tampang yang buat “ramai cair” sebagai bonus.

Ya, ada banyak sebab untuk anda menyematkan nama Andi Bernadee di hati.

Penulis hiburan dan lirik, Roslen Fazil, berpandangan apa yang tular di media sosial tidak semestinya bermutu, begitu juga sebaliknya.

“Dari media sosial, kita melihat kelahiran misalnya selebriti Insta dan artis YouTube, dan apabila satu-satu posting menjadi tular ia turut mencipta fan base yang akan membina dan memperkukuh seorang yang diikuti.

“Soal mutu mungkin tidak dikisahkan sangat tetapi tularnya satu-satu perkara barangkali membayangkan keadaan masyarakat yang mungkin sedang stres dan menyebabkan orang mencari alternatif bagi menghiburkan diri. Selagi ia tidak membawa maksud negatif, apa salahnya,” katanya.

Dihimpit dengan cabaran hidup kini, daripada isu ekonomi hingga percakaran politik yang merungsingkan, keinginan untuk melepaskan realiti dan membiarkan diri dibuai seketika di dalam fantasi boleh menjadi idea yang menenangkan.

Tanpa eskapisme, seseorang mungkin akan terperosok lebih jauh.

“Sifat manusia memang suka berkongsi,” kata Roslen lagi. “Ada orang, misalnya suka bergosip dan dengan adanya media sosial, istilahnya kini adalah tular yang didorong keinginan untuk berkongsi cerita atau bahan. Ia secara tidak langsung memberi kepuasan sebagai cara melepaskan tekanan, di mana media baru dijadikan platform.

“Cuma apa yang membimbangkan apabila ia membabitkan perkara tidak elok kerana sering, benda merapu paling mudah tular. Ini dikhuatiri memberi efek kepada generasi muda yang celik mata sudah dihadapkan dengan media sosial tapi mungkin tidak tahu membezakan mana baik dan tidak.”

Popular sekelip mata, akui Andi turut membuatkannya tidak terlepas daripada jadi bahan cemuhan.

“Apabila Wany Hasrita menyanyi, mereka kata dia nampak comel. Cuma apabila giliran saya, segelintir mengutuk pula,” katanya, ketawa nyata tidak begitu ambil pusing dengan respons negatif. “Eh, chill lah! Tapi, saya faham apabila yang kecam saya itu lelaki juga sebab kalau saya sendiri pun mungkin panas telinga, berasa apa hal kekasih atau isteri berlebih sangat memuji orang lain.”

Dan seandainya eskapisme yang dicari, kadang apa yang diperlukan ialah untuk ambil sikap pedulikan seketika soal kewarasan.

“Jangan nak kecam saja,” tambah Andi. “Rileks, jangan sikit-sikit nak hentam kerana sedikit eskapisme mungkin membuat anda kembali kemudiannya pada realiti dengan pandangan berbeza.”

 

Foto: Instagram Andi Bernadee

 

, , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter