Kesedihan Berterusan Punca Kemurungan Berpanjangan

Dalam perlumbaan untuk jadi paling terkini di kala mengharungi abad baru ini, ada yang mungkin terasa ketinggalan dan tidak dapat terima situasi. Rasa makan dalam yang pada mulanya menyinggah, lama kelamaan boleh menjadi barah kekal yang membunuh jiwa. Penyakit kemurungan di Malaysia bukan sesuatu yang janggal kerana ia boleh berlaku pada sesiapa saja.

Gambar : INGimage

Kemurungan dikategorikan sebagai penyakit mental yang boleh menjadi bahaya jika dibiarkan berterusan. Penghidap penyakit ini boleh bertindak di luar jangkaan bermula dengan perubahan tingkah laku dan seterusnya mencederakan diri atau mungkin bertindak untuk menamatkan riwayatnya.

Kemurungan adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah. Distimia merupakan sejenis penyakit yang diklasifikasikan dibawah gangguan unipolar iaitu kemurungan ringan yang dialami dalam jangka masa yang panjang. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang kurang kadar keparahannya jika dibandingkan dengan kemurungan klinikal yang jauh lebih berbahaya.

Individu yang mengalami Distimia juga mempunyai risiko untuk menghadapi kemurungan berganda di mana berlaku kemurungan sederhana pada kebanyakan masa dan kemudian diselangi dengan gejala kemurungan teruk. Dalam kajian terbaru diterbitkan buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) oleh Persatuan Psikiatri Amerika telah mengubah tatanama penyakit ini sebagai gangguan kemurungan berterusan.

Golongan jantina yang dikatakan kerap mengalami penyakit Distimia adalah wanita. Pakar masih belum dapat memastikan sebab utama seseorang mengalami penyakit ini. Ia dirumuskan sebagai gabungan daripada faktor biologi, psikologi dan juga sosio-budaya. Genetik juga dikenal pasti sebagai antara faktornya, namun kebanyakan individu yang mengalami kecelaruan distimia tidak mempunyai sejarah penyakit ini di dalam keluarga.

Tanda Distimia

Simptom seseorang yang mengalami gangguan distimia ini sama seperti mereka yang menghadapi kemurungan tetapi ia tidak terlalu teruk. Menurut Dr Mimi, untuk mengetahui bahawa seseorang itu menghidap Distimia, simptom yang sama ditunjukkan selama dua tahun oleh orang dewasa dan satu tahun untuk remaja. Individu yang mengalami Distimia kerap menggambarkan mereka berada di dalam kesedihan. Semasa perubahan itu, sekurangnya dua dari tanda ini boleh dikesan:

  1. Kurang selera makan (poor appetite) atau makan berlebihan (overeating)
  2. Gangguan tidur/ masalah tidur malam (insomnia) atau tidur berlebihan (hypersomnia)
  3. Kurang tahap tenaga kecerdasan
  4. Kurang tumpuan atau kesukaran membuat keputusan
  5. Kurang keyakinan diri
  6. Perasaan putus asa atau merasa tidak berguna (hopelessness)

Atasi Dengan Pintar                        

Distimia dikatakan antara penyakit kemurungan yang serius, namun penyakit ini boleh sembuh jika menjalani rawatan dengan betul. Paling penting penghidap penyakit ini perlu mendapatkan diagnos awal supaya ia dapat dicegah  dengan lebih cepat. Kombinasi rawatan psikoterapi dan juga ubat-ubatan dapat membantu untuk mengatasi Distimia.

Penting buat ahli keluarga atau kenalan rapat untuk peka jika ada individu dalam famili yang mengalami perubahan secara fizikal, emosi, pemikiran dan juga kelakuan. Penting untuk mereka mempunyai ilmu dan mengetahui akan komuniti atau tempat yang menghulurkan bantuan kepada pesakit sebegini. Selain itu, keluarga perlu belajar cara berkomunikasi dengan lebih berkesan bukannya terus menyalahkan pesakit.

 

Artikel ini diterbitkan di Majalah Jelita edisi Julai 2017

 

, , , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter