Semai Cinta Semakin Pudar

Gambar: INGimage

Pada awal perkahwinan, semuanya pasti indah. Hubungan di antara suami isteri berjalan lancar dan kasih sayang antara kedua-duanya masih mekar berbunga. Namun, apabila usia perkahwinan semakin meningkat, rasa kasih itu semakin berkurang. Jika dibiarkan mampu membawa kepada perpisahan.

Bagi mengatasi masalah ini berlaku, kedua-dua suami isteri perlu lakukan sesuatu bagi mengekalkan kasih sayang antara mereka. Tiada istilah untung atau rugi dalam menjaga hubungan yang terjalin. Jika usaha yang dilakukan membuahkan hasil, anda akan gembira. Tetapi jika sebaliknya, sekurang-kurangnya anda harus berbangga kerana telah berusaha

Jaga hatinya  

Apabila sudah lama mendirikan rumah tangga, ramai pasangan suami isteri sudah tidak mempedulikan hati dan perasaan pasangan. Inilah kesilapaan yang dilakukan kebanyakan pasangan tanpa mereka sedari. Sepatutnya, mereka perlu berusaha mengambil hati pasangan seperti mana sebelum berkahwin demi memastikan rumahtangga sentiasa penuh dengan perasaan kasih sayang dan kesefahaman.

Berilah pujian

Pujian haruslah diberikan dengan jujur. Sedar atau tidak, dengan memberi pujian kepada pasanga, Berilah pujian hari anda berdua terasa berbeza. Jika si dia mempunyai kelebihan dari segi fizikal, apa salahnya memuji. Begitu juga dengan memuji kepandaian si isteri memasak atau kepandaian suami dalam tugasan sehariannya. Usah lupa bersikap positif kerana akan membuatkan hubungan perkahwinan serta kasih sayang semakin mendalam.

Faham kehendaknya

Kenal pasti kemahuan suami atau isteri dan cuba untuk memenuhinya. Belajar semula untuk mengenali pasangan anda. Pastikan anda tahu kesukaannya dan cuba untuk menjadi yang terbaik untuknya. Kalau sewaktu zaman bercinta anda berusaha untuk menjadi sempurna untuknya, kenapa tidak sikap itu dikekalkan di dalam rumah tangga?

Layanan sempurna

Selalunya layanan terhadap pasangan akan berkurangan kerana tumpuan lebih terarah kepada anak. Waktu ini suami atau isteri mula rasa terabai dan keseorangan. Jadi, cuba berlaku adil dalam melayan suami atau isteri dan anak. Guna masa sewaktu berdua-duan dengan suami atau isteri sebaik-baiknya. Cuba bermesra dengannya sewaktu zaman bercinta.

Jangan simpan

Selalunya isteri lebih suka memendam rasa daripada meluahkannya. Bagi mereka, ini dilakukan bagi mengelakkan pergaduhan dengan suami atau mahu menjaga hatinya. Tetapi dalam tidak sedar, perbuatannya ini akan memakan dirinya. Jadi, ubah sikap ini dan cuba berterus terang. Luahkan perasaan tidak puas hati anda dengan nada yang lembut tetapi tegas. Jangan terlalu ikutkan emosi yang sedang marah. Suami akan faham dan dapat menerimanya dengan baik.

Buat kejutan

Lakukan sesuatu yang mungkin dianggap mengejutkan pasangan anda. Misalnya, sesekali tunjukkan kepandaian memasak resipi istimewa untuknya. Jika sebelum ini hanya si isteri yang bergelumang di dapur dengan menyediakan sarapan, sesekali tidak salah jika suami pula mengambil alih. Tentunya sesuatu yang tidak pernah dicuba akan membuat si isteri atau suami berasa bahagia.

Terima seadanya

Belajar terima kekurangan pasangan. Suami dan isteri perlu melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pasangan anda memperoleh pendapatan yang tinggi daripada anda, seharusnya perkara ini tidak membataskan hubungan dan seharusnya tidak memandang rendah antara satu sama lain. Semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Belajar memaafkan

Saling belajar untuk memaafkan pasangan dan berjanji untuk tidak mengulanginya adalah penting untuk mengekalkan hubungan. Usah simpan dendam. Sekiranya ada perkara yang berlaku, jangan sesekali mengungkit kesalahan lalu yang menyakitkan hati. Ini kerana manusia itu tidak sempurna dan akan sentiasa melakukan kesalahan.

Saling berkongsi

Kemampuan untuk saling berkongsi perkara dengan pasangan sama ada baik, suka atau duka adalah perkara yang amat terpuji demi melihat kerukunan dalam rumah tangga. Jangan biarkan pasangan menghadapi kehidupannya yang bermasalah seorang diri tanpa anda mengetahuinya sedikit pun. Di sinilah peranan seorang suami atau isteri untuk menjadi pemberi semangat, penyelamat serta sentiasa ada dengannya di saat suka atau duka.

, , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter