Kendali Tantrum Si Kecil Dengan Bijak

Gambar: INGimage

Bila anak tersayang bertindak luar dugaan dengan mengamuk, ibu bapa mana yang tidak rasa gusar? Apatah lagi bila kejadian tantrum ini dilakukan di khalayak ramai seperti di pusat beli-belah yang menyebabkan ibu bapa menjadi malu dan tidak dapat mengawal emosi lalu bertindak mencubit atau memukul anak.  Sebagai ibu bapa, mengendali anak kecil perlu dilakukan dengan bijak supaya mereka tidak melakukan tantrum yang melampau.

  1. Jangan mengukuhkan lagi tantrum.

Sebarang bentuk perhatian yang diberikan ibu bapa seperti memarahi boleh mengundang tantrum untuk terus berlaku. Anak akan meneruskan tingkah laku kerana mereka tahu pada satu masa ibu bapa akan mengalah (mungkin malu akibat orang lain merenung) dan kemudian memberi kemenangan kepada si anak.

 

  1. Cuba untuk faham perasaan anak dan kemahuannya.

Tidak salah untuk ibu bapa cuba memahami apa yang dimahukan anak. Cuba bercakap baik  dengan bertanya kepada anak sebab mereka mahu barang berkenaan. Jika anda tidak mahu memberikan kepadanya, cari alternatif lain untuk memuaskan hatinya. Mungkin si anak akan mendengar kata dan berhenti melakukan tantrum.

 

  1. Memahami sumber tantrum.

Sebagai anak kecil, mereka kadang-kadang tidak tahu cara untuk mengekspresi diri. Cari sebab apa yang membuatkannya melakukan tantrum. Mungkin sebab lapar atau mengantuk. Kenal pasti waktu amukan berlaku dan bertanya dengan jelas kenapa mereka marah atau sedih. Beri perhatian kepada anak kerana si kecil yang masih muda selalunya gemarkan perhatian.

 

  1. Memberi ganjaran jika berkelakuan baik.

Kerap memuji anak jika mereka menjaga kelakuan ketika anda keluar di kawasan umum. Anda boleh juga berpesan kepada anak sebelum keluar, jika berkelakuan baik anda akan memberikan ganjaran yang disukai kepada mereka. Tetapi pastikan anda mengotakan janji anda jika tidak mahu mereka melakukan tantrum.

 

  1. Biarkan anak melepaskan marah.

Jika pujukan tidak menjadi, biarkan anak anda melontarkan rasa marahnya. Biarkan dia mengamuk kerana itu adalah cara anak kecil untuk menyatakan perasan mereka. Namun pastikan keadaan sekeliling mereka selamat daripada barang yang membahayakan. Anak akan berhenti mengamuk apabila mereka penat dan mungkin juga akan tertidur.

 

  1. Peluk Anak

Tenteramkan anak dengan cara memeluk dengan kuat sehingga mereka berhenti menangis dan mengamuk. Ini adalah kaedah terbaik untuk menguatkan lagi ikatan kasih sayang kalian. Melalui teknik ini, ia akan membuatkan anak berasa dekat dengan anda dan kemudian membuat mereka cepat berasa tenang.

 

  1. Bawa diri dan anak keluar dari tempat awam.

Memindahkan anak anda ke tempat yang lebih privasi adalah penting. Contoh terbaik adalah di dalam kereta. Cuba untuk tidak memberi sebarang tindak balas kepada anak sehingga dia berhenti. Selepas itu, baru bercakap mengenai kelakuannya. Jangan meninggikan suara anda. Bercakap dengan menggunakan nada yang rendah dan tenang.

 

  1. Bertenang

Apabila si anak sedang tantrum, tindakan orang sekeliling ialah untuk bertenang. Masalah tidak akan selesai jika anda mula melenting kepada mereka. Ibu bapa perlu belajar untuk sentiasa bertenang dengan mengambil nafas yang dalam, membetulkan postur badan dan menganggap semua berada dibawah kawalan.  Malah, jika anda ketawa atau senyum dan berpura-pura seperti tantrum tidak berlaku ia akan menyebabkan anak menjadi keliru dan seterusnya berhenti melakukan tantrum.

, , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter