Peminat Lepas Rindu di Konsert Terunggul Afgan & Ungu

Konsert Terunggul menampilkan dua penyanyi Indonesia tersohor, Afgan dan Ungu buat peminat lepas rindu.

Pentas  Stadium Malawati Shah Alam pada 6 Oktober lalu menyaksikan kedua-duanya berinteraksi secara santai bersama peminat yang termasuk rombongan kerabat diraja Pahang dan Selangor. Persembahan yang dimulakan terlebih dulu oleh Ungu yang diketuai vokalisnya Pasha sememangnya dinanti-nantikan peminat.

Tenaga Luar Biasa Ungu Band

Lawak jenaka bersahaja Pasha buat pengunjung konsert tergelak kerana geli hati apatah lagi kebanyakan yang diselorohkannya termasuk bentuk dan beratnya yang makin bertambah berbanding zaman awal aksinya dengan Ungu. Biarpun fizikalnya kian menampakkan usianya yang lebih matang, suara merdunya masih berkualiti dengan dendangan 10 lagu paling popular, buat penonton turut sama menyanyi dengannya.

Antara lagu yang telah dipersembahkan termasuk Hampa HatikuAndai Ku Tahu, Percaya Padaku, Kekasih Gelapku, Bila Tiba dan kemuncak persembahan adalah duet lagu Tercipta Untukku bersama Idayu yang kini sedang berentap dalam Akademi Fantasia Megastar. Paduan suara dua vokalis hebat ini buat seluruh stadium bersorak memberi sokongan, boleh dianggap antara duet secara langsung terunggul pada malam itu.

Suara Afgan Memukau Penonton

Usai sesi persembahan Ungu, Afgan mengambil alih pentas dengan pilihan lagu yang kebanyakan rancak buat penonton terbuai mengikut rentak. Tidak seperti Pasha yang pandai berceloteh, Afgan tampak lebih ‘malu’ tetapi dengan hanya senyuman bertatah lesung pipit signaturnya itu, mampu buat penonton jadi angau tatkala dia mengucapkan “hai” saja.

Sebanyak 12 lagu dipersembahkan Afgan termasuk lagu terbarunya yang berkolaborasi dengan Sonaone berjudul X. Biarpun sudah beratus kali Afgan melagukannya, namun masih ada permintaan untuk Terima Kasih Cinta, lucunya penyanyi kacak yang bakal mencapai sedekad sebagai anak seni ini sempat membuat muka “bosan” pada awal dendangan lagu itu, tetapi kemudian menyambungnya secara profesional.

Antara lagu yang mendapat teriakan dan dendangan bersama peminat Afgan termasuk, Jalan Terus, Dia Dia Dia, Knock Me Out, Bukan Cinta Biasa, Cinta Dua Hati dan Terima Kasih Cinta.

Sempat juga Afgan berkongsi di pentas, akan kembali melakukan konsert di Malaysia tahun depan jangkaannya, sempena 10 tahun bergelar penyanyi dan sebagai tanda terima kasihnya buat peminat di sini.

Konsert Terunggul Afgan bersama Ungu ini dibawakan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd.

Foto: Ayu Nadirah, Penulis Jelita

, , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter