Kek Kahwin Bertatahkan 7,777 Kristal Swarovski Jadi Tarikan Di Majlis Resepsi Mawar Rashid

Bertemakan Dekorasi Enchanted Garden ilham daripada perancang perkahwinan, Glamweddings by Rizalman, majlis resepsi pelakon, Mawar Rashid, 22 dan Raden Ahmad Faizal Datuk Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf, 32 telah berlangsung dalam suasana tertutup di Pusat Konvsyen Sime Darby, Bukit Kiara pada Jumaat lalu.

Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Dato’ Wan Abdul Rashid itu kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Putra Aziz daripada Cosry dan wajahnya pula disolek oleh Ramzamode, rambut didandan oleh Syuk Qadir dan corak hennanya dilukis oleh Lea Henna.

Raf yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti terkenal, Dato’ Fazley itu turut mengenakan sut rona sama rekaan Cosry.

600 tetamu telah diundang ke majlis tersebut dan antaranya terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat kedua belah keluarga mempelai.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan nyanyian daripada Imran Ajmain, selian daripada kejutan persembahan oleh kawan baik Raf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Festival Nombor Satu Malaysia, Mood Republic; Kimi Iskandar Ismail. Selain itu, terdapat juga persembahan daripada penyanyi yang sedang meningkat popular; Amira Othman, persembahan tarian Asyik dari Kelantan oleh isteri Dato’ Fazley; Datin Azrene Ahmad dan nyanyian daripada Dato’ Fazley, Kiss From A Rose.

Semasa persembahan khas daripada Dato’ Fazley, tetamu yang hadir memberikan 200 jambak bunga ros kepada pasangan mempelai itu.

Antara yang menjadi tarikan di majlis resepsi itu adalah kek kahwin yang disediakan sendiri oleh kakak ipar Mawar, Datin Azreen. Setiap lapisan kek yang diberi nama Enchanted Rose itu telah dihiasi dengan kristal Swarovski yang diletakkan di atas juraian lampu gantung mewah.

Lapisan kek yang menggunakan sebanyak 7,777 biji kristal dengan ketinggian 13 kaki itu sekali gus menjadikan ia sebagai kek perkahwinan tertinggi pernah dihasilkan sepanjang sejarah resepsi persandingan di Malaysia.

Pasangan itu telah diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 3.20 petang di Hotel Royale Chulan pada 9 November lalu.

1 of 8

1 of 8

, , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter