Jelita Ogos, Edisi Pembaca bersama Fasha Sandha

Ogos cukup istimewa kerana Jelita menampilkan edisi pembaca bersama wajah muka depan yang amat dikenali ramai, Fasha Sandha.

Jelita edisi ogos fasha sandha

Edisi Ogos bersama Fasha Sandha

Wanita yang tabah, kental dan makin berani mengharungi setiap cabaran hidup sebagai ibu tunggal ini telah mengadakan sesi penggambaran eksklusif bersama team Jelita di Suite, Berjaya Times Square Hotel di ibu negara, awal puasa lalu. Hadir berwajah segar, dia mendapat sentuhan solekan Alha Alfa menggunakan koleksi kosmetik terbaru Nars. Busana pula ditaja oleh FiziWoo, Blancheur dan Mixxo selain dihiasi indah permata memikat, Habib Jewels.

Dalam kisah Muka Depan, Fasha berkongsi perkembangan terkini termasuk pembabitannya dalam filem Badang dan Blok 404 yang bakal menemui anda di pawagam. Selain itu, wanita yang telah mula berlakon sejak usia 18 tahun ini tidak canggung bercerita mengenai dua permata hatinya, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma. Antara petikan paling menarik: “Saya langsung tidak merasakan kesusahan seperti yang diperkatakan dan hanya menganggap ia perkara biasa. Ia lebih menguntungkan kerana saya bertuah memperoleh kasih sayang berganda daripada anak walaupun perlu bekerja kuat.”

Bagaimana dia pandai membahagikan masa? Apakah pengalaman paling manis yang dia perolehi walaupun sering terpalit dengan pelbagai kisah duka? Fasha makin kurus! Apakah rahsianya? Benarkah dia ada cinta hati baru? Kena dapatkan edisi Ogos ini untuk ketahui lanjut.

DUNIA KECANTIKAN

Apakah produk terbaru berharga bawah RM100 yang anda ingin dapatkan supaya tidak ‘bocor’ poket sebelum waktunya? Jelita turut bariskan tiga produk penyelamat solekan anda, oh untunglah!

Jika anda penggemar alat solek, sudah tentu perlu tahu cara menjaga produk berkenaan supaya tahan lama. Artikel istimewa menanti anda dalam Nota Cantik.

Bagi yang berdepan masalah ‘mata panda’, ada cara hendak rawatinya tanpa perlu melakukan pembedahan. Dalam 10 minit siap, dan anda boleh teruskan dengan rutin harian seperti biasa.

Wanita dan gincu berpisah tiada, Pesona Solekan tampilkan empat inspirasi mekap menggunakan empat rona bibir pilihan ramai. Sungguh menawan.

DUNIA FESYEN

Jika anda bukan jenis suka bergaya ranggi, Jelita bantu anda dengan seleksi helaian gaya minimalis tetapi dengan tip agar ia tampak tetap menyerlah. Selak halaman Tutorial Gaya. Topik fesyen paling kurang dapat perhatian – pakaian dalam kami ketengahkan bulan ini. Apa yang anda perlu tahu, cara memakainya dan cara menjaganya.

Akan ke temuduga tidak lama lagi? Bolehlah cedok idea ke pejabat bakal majikan dengan seleksi menarik Pesona Gaya bulan ini. Biar anda dapat markah penuh dalam penampilan sebelum ditemuduga mengenai personaliti dan adab bekerja.

JENAMA MALAYSIA

Siapakah di sebalik jenama perniagaan terkenal – Tanamera, Cala Qisya dan SweedSkin? Penulis Jelita menemuramah mereka dan kongsikan rahsia kejayaan jenama dan personaliti dalam Fokus bulan ini.

Topik digeruni – Murtad. Adakah perbuatan harian anda mendekatkan anda kepada perkara terkutuk ini? Baik tahu dan bertaubat segera. Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, UKM kongsikan pandangan.

Ini, dan banyak lagi topik dan isu terkini yang anda boleh baca, simpan dan telaah dalam edisi Ogos!

, , , , , , , , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter