Hanis Zalikha Belajar Dari Ibu Cara Terbaik Didik Yusuf Iskandar

Teks: Ayunadirah Ayub

Memikul peranan sebagai wanita ikutan ramai, isteri dan ibu bukan suatu hal yang mudah. Selain sentiasa menjadi perhatian umum, didikan yang baik dan jalinan kasih sayang utuh di dalam keluarga juga adalah sumber inspirasi yang sentiasa ada pada setiap langkah menjadi wanita terhebat.

Siapa tidak mengenali perawakan model bernama Hanis Zalikha Zainal. Bermula sebagai penulis blog yang juga menceburkan diri dalam dunia peragaan, namanya dikenali ramai sehinggakan dia berjaya melangkah ke dalam arena lakonan. Hanis terlihat semakin matang setelah bergelar isteri kepada Hairul Azreen Idris dan dikurniakan cahaya mata lelaki yang kini berusia 11 bulan. Model, pelakon dan pengacara ini menjadi ikutan tidak mengira usia sementelh apa saja yang dikongsikan di blognya sebelum ini sentiasa menjadi bualan ramai.

Populariti Hanis turut mendapat tempias pada ibu tercinta iaitu Nani Rostam yang mendapat ikutan ramai di media sosial dek kerajinannya berkongsi banyak hal bermanfaat bersama orang ramai. Bagi meraikan hari ibu Mei ini, Jelita gandingkan pasangan ibu dan anak popular ini bersama si kecil, Yusuf Iskandar. Dua wanita hebat yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu berkongsi kisah menari pejalanan membersarkan permata hati, momen indah bersama dan banyak lagi! Ikuti soal jawab bersama pasangan ibu dan anak cantik rupawan ini khusus untuk tatapan pembaca semua.

1 of 3

Indahnya Kehidupan Berkeluarga

 

Apa yang berubah dalam kehidupan Hanis setelah berkahwin?

Hanis: Apa yang pasti adalah tanggungjawab semakin besar. Banyak masa kini perlu diperuntukkan kepada kepentingan suami dan anak berbanding diri sendiri. Tiada masa lagi untuk mementingkan diri sendiri, segalanya mengenai keluarga.

Kehadiran Yusuf pula pastinya banyak merubah diri dan kehidupan Hanis serta suami. Boleh kongsikan serba sedikit pengalaman menjadi isteri dan kini ibu?

Hanis: Benarlah kata orang bahawa anak itu lahir sebagai pengikat kasih antara suami dan isteri. Kehadiran Yusuf dalam hidup kami banyak menambah keceriaan dan mengukuhkan lagi kasih sayang antara kami. Saya dan Hairul bekerjasama dalam menguruskan Yusuf dan melayan keletahnya. Semua itu nampak penat dan mencabar, tetapi setiap detik yang dilalui itu saya hargai dan merasakan ia cukup membahagiakan sebagai seorang wanita. Menjaga Yusuf yang lasak sepenuh masa juga membantu saya mengekalkan bentuk tubuh yang ideal selepas melahirkannya!

Cabaran menjadi selebriti yang mengetengahkan anak dan kehidupan peribadi kepada umum? Bagaimana Hanis sekeluarga tangani percakapan orang luar berkenaan setiap tindak tanduk yang kalian sekeluarga lakukan?

Hanis: Sewaktu saya dan suami mengambil keputusan untuk membuat pilihan mengenai Yusuf, ia hadir dengan
prinsip untuk sentiasa berlapang dada menerima kritikan membina. Bagi kami, ada cara tersendiri dalam mendidik
dan membesarkan anak. Apa sahaja komen yang berguna, kami ambil sebagai panduan kelak. Tetapi jika ada yang terlalu kasar dan tidak membina, kami mengambil sikap berdiam diri dan abaikan sahaja supaya tidak mengganggu mana-mana pihak.

Bagaimana anda menguruskan masa dengan adanya bisnes dan keluarga?

Hanis: Saya bertuah kerana punya suami yang sangat ringan tulang dalam membantu tugasan rumah. Dia membantu saya mencuci dan mengemas, selain turut menghulurkan kudrat dalam menguruskan Yusuf dan
Bujibu (kucing kesayangan kami). Jika saya perlu masuk ke pejabat, saya akan membawa Yusuf sekali kerana saya senang apabila dia berada di depan mata. Tidak susah, saya akan tidurkan Yusuf atau bergilir dengan suami.

Nani: Pastinya suami dan anak banyak membantu. Selain itu, jangan terlalu hanyut dengan kesibukan kerja.
Selalunya kami akan merancang family trip, walaupun sekadar makan malam di luar.

Boleh anda kongsikan tip penting yang diamalkan dalam penjagaan anak? Pastinya ramai yang ingin tahu.

Hanis: Sebagai ibu bapa baru, pastinya akan mendapat pelbagai pendapat dan nasihat mengenai hal keibubapaan daripada pelbagai pihak. Tetapi sebagai ibu dan bapa, kenali anak sendiri dan pilih yang terbaik mengikut perkiraan kita sendiri, tanpa mengabaikan kata-kata yang disampaikan oleh orang lain. Ucapkan terima kasih, kerana bagi saya, setiap orang bermaksud baik dan ingin memberikan pendapat mengikut pengalaman masing-masing.

Nani: Kaedah membesarkan anak pada zaman dahulu dan kini mungkin berbeza. Zaman kini, ibu bapa memiliki
cabaran yang lebih hebat dalam mendidik anak apatah lagi dengan kehadiran gajet dan internet. Bagi saya, ilmu agama adalah penyelamat terbaik dalam segala hal. Pupuk nilai agama di dalam diri anak supaya dia dapat membesar menjadi insan yang berguna kelak.

Anda berdua nampak rajin masuk ke dapur. Apa yang membuatkan anda nekad memasak untuk keluarga? Menu yang biasa dimasak pula?

Hanis: Saya minat memasak kerana saya suka menjamu orang dan gembira melihat mereka makan apa yang saya hidangkan. Kebiasaannya saya gemar sediakan makanan laut untuk keluarga dan tetamu.

Nani: Saya tidak mahu menjadi isteri dan ibu yang asing buat suami dan anak. Air tangan sendiri itu menjadi pengikat kasih sayang sesama ahli keluarga. Sesibuk mana pun, cuba juga untuk masuk ke dapur dan sediakan hidangan buat keluarga tercinta. Walaupun ringkas, usaha anda itu pastinya akan dihargai mereka.

Daripada mana Hanis dapat idea menyediakan menu enak dan berkhasiat untuk Yusuf?

Hanis: Untuk semua makanan Yusuf, saya banyak bereksperimen dengan bahan yang ada. Ada juga resipi makanan dewasa yang saya adun supaya sesuai dengannya.

Apakah yang Hanis belajar daripada ibu yang kini dipraktikkan untuk keluarga kecil Hanis?

Hanis: Daripada kecil hingga dewasa, mama sentiasa menyediakan makanan untuk seisi keluarga dengan kudratnya sendiri. Jadi, apabila sudah berumah tangga, saya sentiasa berpegang dengan prinsip memberikan masakan yang baik untuk suami dan anak daripada air tangan sendiri.

Nani: Saya kerap berpesan kepada Hanis agar membesarkan anak dengan ilmu agama yang secukupnya, selain harus rajin memasak untuk keluarga.

Wanita yang sudah memiliki keluarga sendiri perlu bergantung pada suami semata atau perlu juga berdikari? Apa pendapat anda? Sejauh manakah seorang wanita itu perlu berdikari?

Hanis: Berdikari itu penting, tetapi tidak perlu dihebahkan. Biar suami memainkan peranan terbesar dalam memikul tanggungjawab ‘menyediakan.’ Biasakan suami untuk memimpin dan memanjakan kita. Pada masa yang sama, kita tahu keupayaan dan kebolehan kita tersendiri.

Nani: Bergantung kepada rezeki juga. Ada wanita mungkin ditakdirkan untuk menyara keluarga dan perlu berdikari sewajarnya. Namun, jangan sesekali abaikan hakikat yang wanita memerlukan dokongan kaum lelaki.

1 of 3

Indahnya Kehidupan Berkeluarga

, , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter