Tip Memasak dengan Cepat

Memasak bukanlah satu tugas yang leceh, lambat dan memenatkan jika tahu caranya. Pasti semuanya akan jadi lebih mudah dan menggembirakan.

Ramai di kalangan kita yang kadangkala begitu malas memasak kerana prosesnya yang lama. Betulkah tugasan memasak adalah perkara yang leceh dan membebankan? Tidak, kalau difikirkan faedah yang akan diperolehi dengan memasak sendiri. Anak dan suami akan bahagia menikmati masakan air tangan anda yang terjamin bersih dan selamat.

Ada pelbagai kaedah untuk memasak dengan cepat, contohnya:

Bahan Asas
• Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering, kemudian masukkan ke dalam bekas bertutup untuk digunakan kemudian.
• Sediakan perencah untuk sambal tumis, kari hijau, asam pedas dan masak lemak cili padi, kemudian masak sehingga pecah minyak. Simpan di dalam bekas kecil bertutup dan letak di dalam peti sejuk.
• Kupas bawang merah, bawang putih, bawang besar dan simpan rapi untuk masakan yang memerlukannya.

Bahan Sayur
• Jika sayur jenis berdaun seperti sawi, bayam atau kangkung, bersihkan kemudian potong bahagian batang yang keras. Simpan di dalam bekas bertutup. Bila hendak digunakan, hanya perlu dipotong.
• Sayur jenis ‘buah’ seperti labu, petola, peria dan timun ladang pula boleh dikupas dan dipotong mengikut bahagian yang hendak digunakan. Contohnya, sebiji labu dipotong empat untuk sajian empat hari. Letak di dalam bekas berasingan bersama bahan lain yang diperlukan untuk memasak.

Bahan Lauk
• Pada hujung minggu, masak dalam kuantiti yang banyak. Misalnya, rendang, kurma, kari atau asam pedas. Bahagikan untuk satu hidangan dan letak di dalam peti pembeku. Apabila hendak dimakan, hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro.
• Sama ada beli ayam yang sudah dipanggang, atau panggang sendiri, kemudian bahagikan. Setiap bahagian sesuai sebagai isian di dalam roti pita, digulung dengan tortilla atau capati dan dibuat sandwich.
• Rebus daging dan ayam, kemudian simpan stok (air rebusan) untuk sup yang enak. Bila air rebusan disimpan di dalam peti sejuk, lemak akan terapung dan bolehlah dibuang sebelum digunakan. Daging yang sudah direbus boleh digunakan untuk kari, kurma, masak kicap dan sebagainya.

, , ,

Type keyword(s) and press Enter