Rahsia Dapatkan Dapur Bersih Berkilat

Sekali sekala jika sudah sampai mood rajin, ayuh bersihkan dapur secara menyeluruh!

Kawasan dapur pastinya mudah terpalit dengan kotoran makanan ketika tugasan memasak dilakukan. Untuk mengelakkan kotoran yang ada terus melekat dan makin sukar untuk ditanggalkan, anda harus kerap mencucinya apatah lagi setiap kali usai sesi memasak. Atas alasan itu, kali ini Jelita kongsikan tip membersihkan ruang dapur bermula dengan dapur gas hingga permukaan lantai dapur.

Dapur Gas

  1. Lap pemanas dapur

Pemanas dapur anda boleh ditanggalkan dan dicuci menggunakan sabun dan air suam. Gosok bersih sebarang sisa makanan yang tertinggal dan siram dengan air. Biarkan kering sebelum memasangnya semula. Untuk dapur gas elektrik, ambil span lembap dan lap sehingga bersih dan kembali berkilat.

  1. Lap permukaan dapur gas

Gunakan kain yang dilembapkan dengan air dan sabun untuk mengelap permukaan dapur gas anda. Boleh juga gunakan penyembur larutan pembersih khusus untuk menyingkir kotoran degil pada dapur gas.

  1. Bersihkan penyedut udara

Caranya sama, gunakan kain lembap dengan larutan sabun dan lap permukaan penyedut udara anda. Sekali sekala, tanggalkan bolong penapis dan rendam ia di dalam air sabun. Gosok hingga tanggal sebarang habuk dan kotoran. Biarkan kering sebelum memasangnya semula.

Ketuhar

  1. Bersihkan ruang dalam

Kawasan dalam ketuhar anda seharusnya dibersihkan setiap bulan. Mulakan dengan menyediakan campuran ¼ cawan garam, ¾ cawan soda penaik dan ¼ cawan air. Sapukan campuran tadi pada keseluruhan kawasan ketuhar dan biarkan semalaman. Tanggalkan kesan campuran menggunakan spatula dan lap bersih ketuhar anda.

Peti Sejuk

  1. Keluarkan semua makanan

Susun makanan yang ada mengikut jenis dan buang makanan yang sudah tidak boleh digunakan lagi.

  1. Bersihkan

Sediakan campuran dua sudu besar soda penaik bersama satu liter air. Kacau sebati. Rendam span ke dalam larutan dan gunakan ia untuk mengelap keseluruhan permukaan di dalam peti sejuk. Kemudian, lap dengan kain lembap hingga bersih, diikuti dengan kain bersih yang kering.

  1. Letakkan bekas soda penaik

Tinggalkan bekas soda penaik yang terbuka di dalam peti sejuk anda. Soda penaik berfungsi memerangkap bau yang tidak enak dan menghasilkan bau segar.

Kabinet & Kaunter Dapur

  1. Bersihkan kabinet

Tidak kira anda menyimpan makanan atau barang kelengkapan dapur di dalam kabinet, anda tetap perlu sentiasa mengemasnya. Buang item yang sudah melepasi tarikh luput. Lap keseluruhan permukaan luar dan dalam dengan kain lembap.

  1. Lap kaunter

Jadikan kebiasaan untuk mengelap kaunter dapur setiap kali selesai tugasan memasak. Anda boleh gunakan span yang direndam dengan air sabun dan lap hingga bersih, diikuti dengan mengelapnya dengan kain bersih. Selain itu, anda juga boleh menggunakan produk penyembur antibakteria atau antiminyak untuk membersihkan kaunter dapur anda dengan lebih berkesan.

Sinki

  1. Kosongkan sinki

Cuci semua pinggan mangkuk setelah digunakan. Jangan biar ia di dalam sinki.

  1. Bersihkan sinki

Gunakan sabun, air suam dan span untuk membersihkan kotoran degil yang melekat pada sinki anda. Gosok bersih sebelum siram dengan air.

  1. Cuci lubang sinki

Jika permukaan lubang sinki anda berkerak dan kotor, anda boleh cuba campurkan air dan cuka dalam nisbah yang sama. Gunakan campuran berkenaan untuk mencuci pemukaan dan gosok ia menggunakan span hingga kotoran hilang. Bilas dengan air bersih atau air suam.

Perkakas Kecil

  1. Lap habuk

Gunakan kain lembap untuk mengelap kesemua perkakas dapur yang anda miliki seperti pengisar, ketuhar gelombang mikro, periuk, pembakar roti dan sebagainya.

Langkah Terakhir

  1. Menyapu

Setelah semuanya bersih dan disusun dengan teratur, sapu lantai dapur anda untuk membuang segala habuk dan sampah kecil.

  1. Mengemop

Kemudian, anda perlu mop lantai menggunakan larutan air sabun dan diikuti dengan air bersih. Biarkan ia kering.

  1. Simpan keperluan mencuci

Setelah segalanya selesai, simpan semula sabun, penyapu dan mop lantai ke dalam tempat yang sepatutnya. Jangan biarkan ia di merata tempat.

  1. Buang sampah

Akhir sekali, jangan lupa untuk membuang sampah yang sudah terkumpul di dalam tong sampah anda. Bilas tong sampah dengan air dan sabun. Biarkan ia kering sebelum digunakan semula.

, , , ,

Type keyword(s) and press Enter