Panduan Dekorasi Kediaman Menggunakan Kertas Dinding

Memasang kertas dinding di kediaman sudah menjadi trend semasa. Ini kerana ia dapat memberikan kesan khas yang tidak dapat dihasilkan oleh cat biasa.

Korea adalah salah satu negara pengeluar kertas dinding yang menjadi trend masa kini, yang dipanggil Korean wallpaper. Kertas dinding Korea bersaiz besar iaitu 42 inci, manakala kertas dinding yang datang dari Eropah dan tempatan bersaiz standard iaitu 21 inci. Kertas dinding datang dalam pelbagai jenis. Ada vinyl backing, non-woven backing, paper backing dan fabric backing.

Kebanyakan yang terdapat di pasaran sekarang adalah vinyl backing, di mana ia lebih tahan lama dan mudah dikendalikan. Fabric backing pula banyak digunakan di hotel, di mana kertas dinding jenis ini sangat tahan lasak dan boleh diguna pakai semula jika ditanggalkan dengan baik. Akan tetapi harganya adalah lebih mahal dan corak yang ada kebiasaannya kurang menyerlah berbanding kertas dinding jenis lain.

Sebagai Pereka Dalaman yang sangat suka menggunakan kertas dinding dalam setiap projek saya, suka saya berkongsi beberapa tip mengenai kertas dinding iaitu:

  1. Kenal pasti ruang, konsep dan skema warna yang diidamkan. Ini dapat membantu dalam pemilihan jenis kertas dinding, kuantiti yang diperlukan dan bajet yang perlu disediakan.
  2. Dapatkan nasihat pakar. Mendapatkan informasi dan nasihat daripada pakar yang arif mengenai kertas dinding adalah satu langkah yang bijak. Ini dapat mengelakkan pembaziran disebabkan salah pilihan, terlebih beli atau ditipu oleh pihak yang hanya mementingkan keuntungan.
  3. “Don’t be penny wise, pound foolish”. Peribahasa Inggeris ini bermakna, jangan sentiasa ingat bahawa pembelian yang murah itu menguntungkan. Ia mungkin membawa kepada kerugian yang lebih besar jika tersalah memilih dan tertipu dengan agenda tersembunyi di sebalik harga murah tersebut.
  4. Pastikan dinding yang hendak dipasang bebas daripada sebarang kebocoran. Jika dinding yang hendak ditampal kertas dinding bersebelahan dengan bilik air, disarankan untuk meletakkan water sealant yang berupa cat sebelum kertas dinding ditampal. Hal ini dapat melindungi kertas dinding tersebut daripada rosak akibat lembapan daripada dinding sebelah.
  5. Cabar diri menggunakan warna yang lebih menyerlah. Kesannya akan lebih terserlah, berbanding penggunaan warna yang lembut. Tetapi ini tertakluk juga kepada mood yang hendak dicapai.

Tip daripada Emma Khalid, Pengasas & Pengarah Urusan My Home Gallery.

, , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter