Cake Boss Musim Baru Beri Penghormatan Buat Ibu Buddy Valastro

Program televisyen Cake Boss (yang menampilkan Buddy Valastro) bakal kembali dengan musim baru yang lebih segar bermula 15 November ini, jam sembilan malam di saluran TLC (Astro 707).

Buddy Valastro dan krewnya di Carlo’s Bakery cukup terkenal dengan hasil tangan mereka yang berjaya menghasilkan variasi kek unik serta menakjubkan. Biar apa jua bentuk dan saiz, setiap permintaan pelanggan tidak akan dihampakan, malah mereka memberikan hanya yang terbaik setiap kalinya. Bagi Buddy sendiri, keluarga sentiasa menjadi keutamaan, di mana jelas terlihat dia bekerjasama dengan empat kakaknya, dua abang ipar, sepupu dan Momma Mary. Kesemua mereka bersama baker, juruhias dan pengukir sentiasa dicabar setiap minggu untuk menghasilkan rekaan kek yang tampak mustahil menjadi realiti indah dan pastinya enak untuk dijamah.

CAKE BOSS MUSIM KE-9

Kembali dengan musim baru, Cake Boss membawa penonton melihat situasi sebenar pekerjaan mereka dengan lebih dekat. Banyak lagi perkara menarik yang berlaku dan mampu membuatkan anda sendiri teruja untuk melihat hasilnya. Musim terbaru ini menggambarkan kejadian menarik dan penuh emosi yang berlaku dalam kehidupan harian Buddy serta orang terdekat. Anak-anaknya kian membesar, selain perniagaan juga kian berkembang maju.

Antara isu yang mungkin tampak lain untuk musim kali ini adalah Buddy kehilangan ibu tersayang dan anda dapat melihat episod yang dirakam sebagai penghormatan yang baik untuknya. Hakikatnya, Buddy tidak mahu terlibat dalam sebarang penggambaran semasa tempoh yang menyedihkan itu, namun dia terfikir akan tanggungjawabnya kepada peminat dan mahu memberikan sesuatu yang istimewa untuk mereka tonton. Jadi, musim ke-9 ini adalah sesuatu yang sangat dekat dengan Buddy dan dia berpuas hati melihat hasilnya.

Bercerita pula mengenai kek yang paling mencabar untuk dilakukan dalam Cake Boss Musim Ke-9 ini, Buddy menjelaskan ia adalah kek steampunk (pada episod 22) yang boleh dikatakan agak rumit untuk dibuat agar ia tampak cantik dan menepati dunia fantasi steampunk.

**Ingin tahu tip baking daripada Buddy Valastro? Jangan lupa semak JELITA edisi Januari 2018 nanti!

 

, , , ,

Type keyword(s) and press Enter