Titik Hitam : Pengaruh Buruk Suami Menjerat Isteri

Gambar: INGimage

Leka dengan dunia halusinasi akibat ketagihan dadah yang diperkenalkan suami sendiri telah mengubah perjalanan hidupnya. Palitan noda hitam pada dirinya menjadi pengajaran berguna untuk hari mendatang. Haiza, 33, perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun tiga bulan di Penjara Wanita Kajang atas tuduhan memiliki sejumlah kecil dadah jenis syabu. Memulakan bicara dengannya di penjara berkenaan tempoh hari memberi reaksi yang pelik pada diri Haiza. Dia kelihatan ceria dan penuh semangat ketika bercerita kisah hidupnya.

Suami Perkenal Bahan Terlarang

“Perkenalan yang tidak diduga dengan seseorang telah membawa kami ke jinjang pelamin. Walaupun berkahwin di usia yang masih muda pada ketika itu, saya tidak mendapat sebarang tentangan daripada keluarga mahupun perasaan ragu terhadapnya.

Demi menjaga hati suami dan menjadi seorang isteri yang baik, saya yang masih mentah sebulatnya menuruti apa sahaja permintaan suami. Sehinggakan pada satu hari saya diminta mengambil sesuatu yang pada masa itu tidak saya ketahui adalah sejenis dadah. Demi menurut kehendak suami, saya ikutkan sahaja dan mengambilnya tanpa banyak soal.

Suami saya adalah seorang pemandu lori. Maklumlah waktu kerjanya tidak menentu, ada masanya dia perlu memandu lori berjam-jam lamanya pada waktu malam ditambah pula perlu berulang-alik ke banyak tempat dalam keadaan tidak cukup tidur telah mendesak dia mengambil dadah jenis syabu untuk kekal segar. Syabu membantu dia menghilangkan rasa mengantuk, di samping memberikannya kekuatan dalam melakukan kerja berat.

Ketagihan Memuncak

Hari demi hari, saya pula kian ketagih dengan dadah tersebut. Saya semakin mendambakan syabu dan mudah berasa gelisah jika tidak mendapatkannya. Kami suami isteri sentiasa memastikan bahawa kami mempunyai bekalan syabu yang mencukupi untuk memuaskan ketagihan. Selain itu, kehendak suami yang bertenaga di ranjang dek pengambilan syabu juga merangsang saya untuk terus terjebak dengan perbuatan ini.

Walaupun kami tahu apa yang kami buat ini salah, namun kami sudah tidak boleh berpatah balik. Sepanjang kami mengambil syabu, tiada sekali pun kami menunjukkannya di hadapan tiga orang anak kami yang berusia antara tujuh ke 14 tahun. Kami tidak mahu mereka melihat perbuatan kami dan mungkin akan terjebak bersama ke dalam kancah penagihan dadah.

Perbuatan Terbongkar

Perasaan gian yang semakin menebal membuatkan saya tidak memikirkan natijah perbuatan ini. Sehinggalah ketika pihak polis menyerbu rumah semasa ketiadaan suami saya. Polis telah menjumpai sejumlah kecil syabu di kamar tidur kami dan saya telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat dengan lebih lanjut.

Saya yang ketika itu masih gian dan seolah-olah sedang berhalusinasi telah mengaku syabu yang dijumpai itu adalah milik saya. Kerana tindakan itu saya telah disabitkan atas kesalahan memiliki dadah dan dikenakan hukuman penjara selama dua tahun tiga bulan.

Sudah lapan bulan saya berada di sini dan perasaan kesal itu sentiasa berlegar di pemikiran dan lubuk hati saya. Teringatkan anak di rumah dibawah jagaan suami yang belum tentu sudah meninggalkan tabiat ketagihan dadah membuatkan jiwa saya tidak tenang. Saya tidak mahu mereka mengikuti jejak langkah kami yang sudah tersasar jauh. Masa depan anak saya masih jauh di hadapan dan mereka sepatutnya membesar dalam suasana harmoni, bukannya dengan tekanan ibu yang di penjara kerana dadah yang membinasakan.”

*Bukan nama sebenar

Kredit: Majalah Jelita Mac 2016

, , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter