Titik Hitam: Padah Pengaruh Teknologi

Disebabkan tergoda dengan pujukan lelaki, dia kini hamil anak pertama pada usia 15 tahun. Sepatutunya pada ketika ini dia sedang berseronok menikmati alam persekolahan tetapi disebabkan kesilapan sendiri dia terpaksa bersembunyi.
 

Gambar: Shutterstock


 
Hana* kini terpaksa tinggal di rumah perlindungan kerana tidak mahu berita kehamilannya diketahui umum. Bagi menutup malu keluarga, dia kini tinggal berjauhan  daripada mereka sehingga dia selamat melahirkan bayi yang tidak berdosa ini.
 
Menyingkap kembali detik itu, ujar Hana, dia mengenali lelaki durjana itu menerusi aplikasi Wechat selepas Kamal* menyapanya untuk berkenalan. Tanpa berfikir panjang, Hana menyambut salam perkenalan itu dan mula berkomunikasi denganya secara alam maya selama hampir kira-kira sebulan.
 
“Saya langsung tidak menyimpan curiga terhadapnya. Melihat pada gambar yang terpapar saya sangka dia lelaki yang baik. Ayat yang digunakan juga biasa sahaja dan langsung tidak menunjukkan dia seorang lelaki gatal. Perbualan kami juga tidak pernah terpesong atau menyentuh hal yang sensitif. Jauh sekali berbual mengenai isu lucah. Disebabkan itu saya terus melayannya,” katanya.
 
Dalam tidak sedar Hana mula selesa berkawan dengan Kamal. Setiap hari pasti mereka berbual di Wechat seperti pasangan bercinta. Apa sahaja yang dibuat akan diceritakan kepada si dia. Sehinggalah pada satu hari Kamal menyuarakan hasrat mahu berjumpa dengannya. Seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal, Hana bersetuju untuk berjumpa dengannya.
 
Alangkah seronoknya Hana kerana dia bakal bertemu Kamal buat pertama kalinya. Siapa yang tidak suka berjumpa dengan lelaki yang sudah mempunyai tempat di hatt, bukan? Hari yang dinantikan tiba dan sepeti yang dijanjikan mereka bertemu di restoran makanan segera yang terletak berhampiran dengan sekolah Hana.
 
“Ibu dan Ayah saya agak tegas. Mereka tidak benarkan saya keluar ke mana-mana tanpa kehadiran mereka di sisi. Jadi, disebabkan itu saya bertemu Kamal selepas waktu sekolah. Saya tipu ibu saya dengan memberitahunya saya ada kelas tambahan. Jadi dapatlah saya berjumpa dengan Kamal pada hari itu,” ujarnya.
 
Cepat Terpedaya

Kali pertama Hana berjumpa Kamal dia terus terpaut pada rupa paras lelaki itu. Sementelah ini pengalaman pertamanya berjumpa lelaki, jadi hatinya cepat cair. Hatinya seakan berada di awan-awangan sepanjang berbual dengan Kamal apatah lagi si dia cukup manis mulut bila berbicara.
 
Mereka meluangkan masa lebih dua jam di situ. Namun pertemuan itu tidak tamat di situ sahaja apabila Kamal mengajak Hana ke satu tempat rahsia. Boleh dikatakan Hana seorang gadis naif jadi dia mudah percaya dan menurut sahaja tanpa rasa curiga.
 
“Saya ikut sahaja langkah Kamal tanpa mengesyaki apa-apa. Dia bawa saya ke satu tempat yang agak jauh dari kawasan rumah saya. Saya tidak takut waktu itu kerana percayakan pada dirinya, masakan dia mahu mengapa-apakan saya? Akhirnya kami sampai di sebuah rumah dan Kamal menjemput saya masuk. Katanya dia mahu mengambil barang jadi saya hanya akur dan mengikut,” katanya.
 
Tidak dinafikan terdetik di sanubari Hana, ini bukan seperti yang dijangkakannya. Apatah lagi, Kamal mula memujuknya untuk masuk ke dalam sekejap. Pada mulanya dia enggan, takut juga dan terbayang pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku. Entah kenapa, mungkin juga bisikan syaitan yang membuatnya rasa yakin untuk menurut kata jejaka itu.
 
Sebaik memasuki kediaman Kamal, Hana ditinggalkan sendirian di ruang tamu. Mula terdetik pelbagai perkara dalam fikiran, hingga ke satu tahap, dia hampir bangun untuk pulang tetapi lelaki itu kembali menghampirinya dan mereka berbual seperti biasa. Tetapi, kelakuan Kamal mula berubah dan bertindak lebih berani.
 
Diajaknya Hana ke kamar tidur namun gadis itu menolak. Hana jadi bingung dnegna tindakan Kamal namun dia juga tidak cuba melepaskan diri. Dalam kekeliruaan keadaan, dia seakan merelakan apa sahaja yang dilakikan Kamal terhadap dirinya, walaupun dalam hati ada jeritan kecil yang ini tidak sepatutnya terjadi.
 
“Saya seakan buntu waktu itu. Sentuhan Kamal mewujudkan perasaan berbeza. Saya takut tetapi tubuh pula mengatakan sebaliknya, seakan diri terbelah dua. Disebabkan itu saya tidak berbuat apa-apa. Tidak dinafikan Kamal pandai menggoda saya sehingga saya jatuh ke tangannya. Tanpa saya sedar, dara saya sudah hilang pada hari berkenaan,” katanya sambil menitiskan air mata.
 
Habis Madu Sepah Dibuang

Hana pulang ke ruamh pada hari itu dengan perasaan bercampur baur. Ada rasa takut, risau dan menyesal. Tetapi tidak terlintas difikirannya yang dia mungkin akan hamil. Seminggu selepas kejadian itu, dia masih berhubung dengan Kamal seperti biasa. Tetapi lama-kelamaan hubugan itu menjadi hambar dan Kamal mula menunjukkan sikap menjauhkan diri.
 
Pernah beberapa kali sapaanya di Wechat tidak dibalas. Hana mula rasa curiga, namun dia hanya pendamkan seorang diri sehinggalah Kamal langsung tidak membalas mesejnya. “Dua bulan selepas saya berjumpa dengan Kamal, saya sering sakit. Saya kerap demam dan muntah-muntah. Melihat keadaan saya, ibu mengajak saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Pada mulanya saya menolak, tetapi selepas dipaksa saya tiada pilihan,” katanya.
 
Selepas membuat pemeriksaan biasa, Doktor memintanya membuat ujian air kencing pula. Tanpa mengesyaki apa-apa dia hanya mengikut sahaja. “Saya betul-betul tidak menyangka saya hamil. Sehinggalah, doktor memberitahu keputusan ujian air kencing yang saya lakukan. Alangkah terkejutnya saya waktu itu. Dapat saya lihat, ibu juga menerima tamparan hebat sewaktu saya diberitahu saya mengandung. Tidak sangka, perbuatan saya dengan Kamal meninggalkan benih dalam rahim saya,’ ujarnya sambil berlinangan air mata.
 
Ibu bapa mana yang tidak marah jika anak yang dijaga baik akhirnya menconteng arang di muka mereka? Perbuatan Hana benar-benar melukakan hati kedua orang tuanya. Namun untuk membuang anak ini mereka tidak sanggup. Jalan terbaik adalah dengan meletakkan Hana di rumah perlindungan.
 
Akur dengan keputusan ibu ayah, Hana akhirnya berada jauh daripada kedua orang tuanya kini. Biarpun sedih, dia terpaksa kerana inilah balasan atas perbuatan dan dosa yang dilakukannya. “Insya-Allah, saya bakal melahirkan bayi ini sekitar Mei nanti. Saya tidak pernah terfikir untuk menggugurkannya kerana tidak mahu berbuat dosa untuk kali kedua. Lagipun, bayi ini tidak bersalah. Jika semuanya selamat, saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat sebaik dilahirkan. Habis tempoh berpantang, saya akan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
 
Tambah Hana, ibu bapa masih mahu dia meneruskan pelajaran yang tertangguh. Bagi mereka, perjalanan hidup Hana masih jauh dan terlalu muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu. Biarpun berat untuk mengambil keputusan ini, Hana tiada pilihan lain dan berharap ini yang terbaik untuk anak yang bakal dilahirkannya ini. Sebagai anak, Hana tidak mahu terus memalukan ibu bapanya.

*bukan nama sebenar
Artikel ini disiarkan dalam Majalah Jelita edisi April 2017

, , , , ,

Type keyword(s) and press Enter