Alahan Cabaran Ketika Mengandung

Jika berbual dengan wanita hamil, setiap daripada mereka mempunyai pengalaman serba berbeza tetapi satu perkara yang mungkin jadi persamaan adalah alahan. Ada yang meloya dan rasa kembang tekak pada waktu tertentu, ada pula yang asyik berulang ke bilik air sebaik mengisi perut dengan makanan. Dan ada segelintir yang melalui mabuk hamil ini sepanjang tempoh kehamilan sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Gambar : INGimage

Rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar enam minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Lebih kurang 80 peratus wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan.

Namun, ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya. Wanita dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mereka mengalami muntah yang teruk dan tidak berupaya untuk mengambil makanan atau minuman yang secukupnya untuk kandungan.

Berikut antara faktor menyebabkan alahan sewaktu hamil:

  • Menghidu bauan yang kurang menyenangkan seperti minyak wangi, kopi dan asap rokok.
  • Menghidu bau yang kurang menyenangkan sewaktu memasak atau menggoreng.
  • Berasa sangat letih selepas bekerja atau berjalan.
  • Perasaan gelisah atau risau mengenai sesuatu perkara.
  • Lambat makan atau menahan lapar.

Alahan atau muntah ini dapat di atasi dengan mengamalkan diet berikut:

  • Kerap makan dan minum, tetapi dalam kuantiti yang kecil. Lebih kurang lima hingga enam hidangan kecil sehari. Ini untuk memastikan anda mengambil air dan makanan yang cukup untuk kandungan. Selain mengelakkan angin memasuki perut.
  • Makan sebaik selepas bangun tidur biasanya membantu. Contohnya, makan beberapa keping biskut dan rehat 15 minit sebelum bangun dari tempat tidur.
  • Terus makan sesuatu makanan apabila mengidamkannya (teringinkannya).
  • Elakkan makan makanan berminyak, pedas atau bergoreng. Ini baik untuk mengelakkan pedih ulu hati.
  • Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan anda berasa loya.
  • Elakkan minum air dengan banyak sewaktu makan atau sebaik sahaja sebelum atau selepas makan.
  • Minum di antara hidangan untuk mengurangkan muntah.Mengambil halia seperti teh, halwa dan kapsul) terbukti boleh mengurangkan rasa loya dan muntah sewaktu hamil.

, , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter