Bidan Hospital di UK Rayu Elakkan Seks Pada Krismas

Bayangkan! Bidan hospital di United Kingdom merayu orang ramai supaya tidak melakukan seks sewaktu Krismas kerana jumlah bayi yang lahir pada September ‘terlalu ramai!’

ING Image/Click Photos

Dalam satu laporan dilakukan The Independent baru-baru ini, 26 September adalah hari paling ramai bayi dilahirkan. Bila dikira tarikh ke belakang, apakah yang berlaku sembilan bulan terdahulu? Krismas.

Seorang bidan yang diwawancara, Mhairi Maharry, 33, dari London secara berseloroh menyiarkan satu Tweet: “Kenapa sekarang baru 5 September? Saya tidak boleh lalui lagi 25 hari sebegini. Jika anda kenal atau sayangkan bidan anda, HENTIKAN SEKS PADA KRISMAS.”

Dia tidak bersendirian, seorang lagi jururawat pelatih memberitahu yang September memang bulan paling sibuk dan agak gila. Manakala seorang bidan bernama Bethan Jones menambah, “Oh Tuhan, September sangat teruk! Saya perlu lalui waktu kerja paling sibuk berbanding sebelum ini.”

Menurutnya, ramai yang memutuskan untuk ada anak tahun ini, jadi mereka terus mulakannya dan sudahnya, melahirkan bayi sembilan bulan kemudian,” jelasnya kepada The Independent.

VALENTINE’S ATAU KRISMAS?

Mungkin ramai menyangkakan yang pertengahan November, sembilan bulan selepas Hari Kekasih pada Februari, akan menjadi waktu tersibuk di bilik bersalin, tetapi ia langsung tidak dapat dibandingkan dengan kesibukan wad bersalin sewaktu bulan September.

Disebabkan seluruh Disember waktu paling banyak majlis dan parti dengan mood keraian, September menjadi bulan paling sibuk bagi wad bersalin hospital di sana.

Menariknya, selepas tweet yang dilakukan Maharry, kedua-dua ibu dan bakal ibu bagi bayi bulan September ‘meminta maaf’ kerana memberikan kerja tambahan kepada tugas sedia ada bidan berkenaan.

Fakta menarik: 25 dan 26 Disember adalah hari-hari yang paling kurang bayi baru dilahirkan.

FAKTOR LAIN UNTUK ANAK SEPTEMBER

Namun, peningkatan kelahiran pada bulan September bukanlah semata-mata sebab ibu bapa mereka terlalu bahagia sewaktu Krismas. Sesetengah ibu bapa memang merancang untuk mendapatkan bayi September kerana ia serentak dengan permulaan penggal sekolah, jadi anak mereka itu boleh memulakan sekolah lebih awal berbanding rakan sebaya yang lahir lebih lewat daripadanya.

Menurut Jones, ada sesetengah ibu bapa yang jenis “amat teratur hinggakan mahu anak mereka menjadi yang paling tua untuk tahun (persekolahan) itu.”

United Kingdom bukan satu-satunya negara yang menampakkan aliran kelahiran sebegini, data daripada Amerika Syarikat dan New Zealand turut menunjukkan peningkatan kelahiran pada bulan September juga.

Jika anda adalah bayi dengan tarikh lahir September, ada bagusnya. Sekurang-kurangnya anda tahu yang ibu bapa anda pandai bergembira pada musim keraian.

, , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter