Awasi Anak! Hindari Jadi Mangsa Seksual Dalam Talian

Teknologi yang semakin berkembang menyebabkan internet lebih mudah diakses semua golongan dan peringkat usia termasuk kanak-kanak dan remaja. Golongan muda dan remaja ini menggunakan internet untuk belajar, berhubung dengan keluarga, bersosial dengan rakan baru dan sebagainya. Namun, ada yang bertindak mengambil kesempatan dengan mengganggu atau cuba mengeksploitasi secara seksual golongan kanak-kanak dan remaja ini kerana nafsu dan keinginan songsang memualkan.

Gambar : INGimage

Terdapat ibu bapa yang masih keliru sejauh mana anak mereka tahu mengenai internet dan penglibatan aktiviti di alam siber. Penting untuk ibu bapa memantau aktiviti anak bersama gajet demi untuk mengelak anak menjadi mangsa gangguan seksual dalam talian, perkara ini sering diberitahu namun sejauh mana ibu bapa memainkan peranan aktif untuk bertindak?

Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, Pakar Psikologi dan Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak Kanak Universiti Malaya berkongsi pendapat mengenai perkara ini.

Anak Mungkin Jadi Mangsa Pedofilia 

Tidak dinafikan bahawa teknologi mampu memberikan kemudahan kepada sesiapa sahaja termasuk penjenayah siber yang ingin menjerat kanak-kanak atau remaja demi memuaskan nafsu mereka.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hampir 80 peratus kes rogol pemangsa seks yang dilaporkan di negara ini sejak dua tahun lalu membabitkan persahabatan bermula daripada alam siber dan majoriti mangsa berumur bawah 18 tahun.

“Remaja dan kanak-kanak adalah sasaran paling mudah kerana mereka mudah dieksploitasi, naif dalam berfikir dan membuat keputusan. Sedar atau tidak anak-anak ini bakal menjadi mangsa pedofilia yang menggunakan kemudahan atas talian ini sebagai medium utama untuk mengajar, memujuk rayu, groom anak kecil ini supaya mereka terleka dan mudah mengikut kata,” kata Mariani.

Pedofilia bermaksud gangguan psikologi di mana individu dewasa atau remaja yang lebih tua tertarik secara seksual kepada kanak-kanak yang masih belum baligh. Ia boleh dikategorikan sebagai antara gangguan mental di mana terdapat kecelaruan identiti dan kecelaruan perasaan yang berlaku kepada pelaku disebabkan perkara yang mempengaruhi pemikiran mereka.

Gambar Mudah Didapati

Tahukah anda, penjenayah alam maya ini lebih mudah untuk melakukan jenayah dengan adanya laman media sosial yang semakin bertambah. Bagaimana? Ibu bapa yang gemar memuat naik gambar anak-anak anda terutama yang masih kecil boleh membuatkan si pemangsa menjadikan gambar anak sebagai pemuas nafsu mereka.

Mereka tertarik kepada kanak kanak kerana dalam aktiviti melakukan seks, cita rasa mereka lebih kepada golongan yang mudah dipengaruhi, bertubuh kecil, comel dan bersikap keanak-anakan.

Ada juga pemangsa yang lebih kepada memiliki perasaan pedofilia tetapi tidak melakukan seks atau mendera kanak kanak. Namun apa yang lebih penting mereka menjadikan golongan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Seperti yang diperkatakan tadi teknologi memberi banyak kemudahan pedofil untuk mendapatkan mangsa. Maklumat mengenai mangsa boleh didapati pada hujung jari sahaja. Lihat sahaja jika kita menggunakan laman pencarian seperti Google. Taip sahaja kanak-kanak, sekelip mata muncul pelbagai gambar kanak-kanak yang dimuat naik,” tambahnya lagi.

Namun, teknologi yang ada juga sebenarnya boleh membantu ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak menjadi mangsa kerana banyak maklumat yang boleh diketahui ibu bapa daripada kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini.

Kena Ambil Tahu

Masyarakat perlu sentiasa berwaspada tidak kira ibu, ayah, kakak dan abang malah jiran sendiri harus peka terhadap perlakuan mencurigakan anak-anak atau pemangsa itu sendiri. Peka dengan keadaan sekeliling terutama dengan individu setempat atau orang asing yang datang ke kawasan perumahan, kawasan sekolah atau kawasan padang permainan yang penuh dengan kanak-kanak

Perkaraini ibarat virus, jika tidak dikekang dan akan merosakkan sistem masyarakat dan keluarga pada masa akan datang. Laporkan kepada pihak berkuasa jika anda terlihat perbuatan yang boleh mengundang kepada jenayah ini demi menyelamatkan maruah anak-anak daripada menjadi mangsa rakus pemangsa ini.

Lindungi anak-anak daripada menjadi pemangsa seksual dalam talian dengan cara ini:

  • Jangan paparkan gambar anak-anak tidak berpakaian atau berpakaian tidak sopan sama ada lelaki atau perempuan terutama yang digunakan sebagai profil laman media sosial.
  • Jangan sesekali memaklumkan lokasi sekolah atau keberadaan anak itu dengan memuat naik status dalam laman media sosial kerana niat awal untuk memakluman -rakan yang akhirnya akan membawa padah lain yang tidak diingini daripada berlaku.
  • Latih anak-anak untuk tidak membenarkan sesiapa sahaja menyentuh, memegang atau mengusap tempat privasi atau anggota lain bahagian badan. Jika berlaku perlu dimaklumkan segera dengan ibu atau bapa.
  • Pakaian anak-anak hendaklah tidak menonjol atau lebih kepada pakaian yang sopan kerana apa sahaja yang dipakai boleh menjadi tatapan mereka yang mencari mangsa.
  • Berikan perhatian jika anak menunjukkan kelainan apabila berdekatan dengan seseorang atau sikapnya tiba-tiba berubah seolah-olah takut apabila seseorang mendekati mereka.
  • Jangan biarkan anak prabaligh berjalan bersendirian tanpa pemantauan ibu bapa atau orang lebih dewasa yang dipercayai.
  • Anak perlu diingatkan untuk menghafal nombor telefon yang perlu dihubungi jika sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

, , , , , , , , , , ,

Type keyword(s) and press Enter